Popular Posts

Friday, 5 August 2011

Empat Terbaik Buat Muslim

Assalamualaikum..

Bismillahirrahmanirrahim..Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Segala puji hanya kepada Allah.

Empat Perkara Yang Terbaik Dalam Kehidupan

Saudara-saudari yang Allah rahmati,

Kita lahir ke dunia yang tersergam indah ini tidak ada tujuan lain kecuali mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita bermula dengan sesuatu yang baik. Semasa dalam kandungan ibu, kita sudah didoakan oleh ibu dan bapa agar kita menjadi insan yang soleh atau solehah. Begitu juga semasa kita dilahirkan. Selesai jururawat menyucikan badan, bapa kita akan melaungkan azan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri. Alhamdulillah.

Apa yang pasti, hari ini kita sudah dewasa. Erti sebuah kehidupan bukan suatu pertanyaan lagi. Hasil didikan dan asuhan ibu dan bapa, kita menyelusuri dunia dengan hati yang tenang dan gembira. Namun, adakah kita percaya bahawasanya ada amalan yang terbaik untuk kita.


Saudara-saudari yang Allah sayangi,

Ada empat (4) perkara utama yang Allah SWT mahu diamalkan oleh setiap hamba-hambaNya. Dua adalah melalui tuntutan zikir dan dua lagi melalui tuntutan doa. Walau di mana kita berada, kita boleh melakukannya kecuali di tempat-tempat yang kotor.

Pertama, kita dituntut untuk memperbaharui kalimah penyaksian (syahadah) kita bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT. Kita sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah SWT semestinya mahu memiliki iman yang tebal dan kukuh. Jadi, antara amalan yang terbaik ialah kita memperbaharui kalimah syahadah setiap masa. Ianya perlu diulang seberapa banyak yang mungkin dalam satu hari. Kita isikan masa lapang kita dengan zikir syahadah ini. Kita selang-selikan kerja harian kita dengan zikir syahadah. InsyaAllah, iman kita akan bertambah kukuh dan padu. Amalan ini sesuai dengan apa yang telah disarankan oleh Imam al-Ghazali rahimahullah yang antaranya menyuruh kita berzikir لا اله الا الله sebanyak 1000 kali pada Hari Sabtu.

Kedua, kita dituntut agar sentiasa beristighfar. Memohon keampunan dengan Allah SWT. Walau kita dalam kegembiraan mahupun kesedihan sekalipun, kita dituntut agar sentiasa merasakan diri kita lemah dan hina dengan dosa-dosa yang lalu atau semasa. Ini merupakan jalan yang terbaik sebagai seorang Islam untuk terus mendekatkan diri kepada Allah SWT seterusnya dapat membersihkan diri dari kekotoran dosa-dosa antara kita dengan Pencipta Yang Esa. Hebatnya Rasulullah SAW adalah kerana akhlak dan teguhnya keimanan kepada Allah SWT. Begitu juga para sahabat Baginda. Mereka menitikberatkan soal pahala dan dosa. Apa yang selali mereka lakukan ialah menginsafi diri dan segera melafazkan استغفر الله العظيم berulang kali agar dosa-dosa mereka dihapuskan oleh Allah SWT dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang penuh dengan nikmat.


Saudara-saudari yang Allah nikmati,

Ketiga, kita dianjurkan mengisi doa kita dengan mengutamakan permohonan untuk mendapatkan syurga Allah SWT dan juga keredhaan hidup. Ini antara permintaan yang Allah SWT ternanti-nanti dari hamba-hambaNya yang bersyukur. Selesai solat, membaca al-Quran, berteraweh, masa lapang dan sebagainya, kita panjatkan doa memohon syurga Allah SWT dan keredhaanNya sebelum kita dipanggil mengadap Allah SWT selama-lamanya.

Keempat, kita juga dianjurkan untuk berdoa agar kita dijauhkan dari api neraka dan kemurkaan Allah SWT. Kita sedia maklum bahawa api neraka disediakan untuk orang-orang yang melakukan dosa semasa hidup di dunia. Api neraka juga tempat terakhir untuk syaitan-syaitan dan golongan kafir. Begitu juga dengan kemurkaan Allah SWT. Tidak bermakna sebuah kehidupan dunia jika kita merelakan diri kita dijilat api neraka dan dimurkai oleh Allah SWT.

Akhir kata, bersama-samalah kita melakukan amalan terbaik ini dalam mengisi setiap penjuru kehidupan kita sebelum kita kembali menemui Allah SWT. Jadikanlah hidup kita ini untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan sebagai seorang pemakmur di dunia ini. Apa yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang kurang itu datangnya dari kelemahan kita sendiri.

رَبَّنَا ءآتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment